Selamat datang ke blog PENSEL PATAH . Terima kasih kerana meluangkan masa anda di sini. Frasa dari hati hanya untuk anda yang mengerti. Selamat membaca. Semoga anda mendapat manfaat

Friday 1 May 2015

Mimpi Dalam Jaga

Tersentak ku dari jaga,
Setelah bercengkerama di singgah sana,
Menggengam tanganmu penuh erat,
Mengharap mimpi tiada penamat


Tersentak ku dari tidur,
Bila ku dengar hanya dengkur bersahut,
Sedang mimpi tadi telah hanyut,
Kau asingkan diri di bawah selimut,
Tak memandangku walau seraut


Tersentakku dari mimpi,
Bila engkau masih di sisi,
Igaumu kuat dalam lena,
Tanda rehatmu diambil masa,
Lelah menguruskan hari kita


Ironinya engkaulah manusia setia
Dan aku yang hidup dalam mimpi walau mata berjaga




Tuesday 21 April 2015

~ BUSYRO ~

Maafkan aku
Tak pernah bertanya dukanya kamu
Tak pernah berkongsi saat bahagia bertamu
Tak pernah peduli huluran nasihatmu

Terima kasih sahabat
Ajarku erti cinta
Ajarku erti bahagia
Ajarku tentang hormat pada seorang sahabat
Ajarku sabar pada seorang teman rapat

Akan ku bayar tiap titisan nasihat yang kau beri
Menjadi wanita yang elok peribadi
Menjadi teman yang menghargai
Menjadi manusia yang berbudi pekerti
Demi kau,demi aku dan Ilahi

Busyro....
Kau membawa 'khabar gembira' di hati yang lara
Seperti kicauan burung di subuh kala
Bermain variasi muzik di sisi jendela

Namamu pasti kukuh dalam doaku
Menjadi seni tiap 5 waktu
Menjadi bahagian dalam sujudku
Dan 'SUATU' yang hilang dulu pasti tidak akan berlalu


Rintihan buat Bulan

Bulan
Aku rindu...
Tapi bukan pada tuturnya saat berbicara denganku

Aku rindu...
Tapi bukan pada kerlingannya
Saat memandang tajam wajahku

Gemersik rinduku..
Saat tuturnya menyebut namaku
Saat kerlingannya yang selalu membuatku malu

Bulan
Aku rindu..
Tapi bukan ketika bermesra manja dengannya
Bukan jua ketika berbicara berdua


Yang aku rindu..
Pada kenangan yang tak mungkin berulang
Pada sayang yang mungkin hilang
Pada gurauan yang tak lagi dipandang

Bulan...
Kenapa engkau tempat ku curah rasa?
Kerana...
Walau nanti rasa kasih telah pergi
Engkau di situ tetap kami renungi



Kisah Kau & Aku

Dalam puisi ku sebut namamu
Dalam nafas Ku hembus auramu
Dalam mimpi Ku igau figuramu
Setiap saat mencuri pandanganku

Getar hatiku bukan kerana cinta
Senyum bibirku bukan kerana bahagia
Resah hidupku bukan kerana sengsara
Kerna hadirmu bukan demi kasih mahupun luka

Kau istimewa
Di mata wanitaku
Kau laksana Raja
Di hati perempuanku

Umpama kekasih lama yang baru bertemu
Kau bagaikan bayang mengikut langkahku
Aku bak malaikat mengintai jejak hidupmu

Seperti diari yang harus ku tulis
Seperti kanvas yang perlu ku lukis
Seperti arca yang teliti Ku ukir
Itulah caraku membentuk kisah kita
Tiada istilah metafora cinta

Kerana kita bukan selayaknya pasangan bercinta
Yang akan gagah atau lemah berduka
Kita hanya kenal tangis dan ketawa
Dan bebaskan hidup diatur masa
Lalu biarkan kenangan sentiasa tercipta

Kamu...
Yang membawa separuh dari jiwa pergi
Yang hidupkan hati yang pernah mati

Aku...
Yang masih mengalir air mata
Bila jasadmu menjauh tiada
Yang masih tersenyum gembira
Bila kau selalu ingin bersua
Biar dalam mimpi atau nyata

Kita...
Hubungan yang tiada definisi makna
Hanya bahagia kita yang rasa
Biar bayu bawa pergi samudera hati
Hingga suatu ketika, bahagia ini tiada wujud lagi

Kerana kita pasti...
Jiwa ini pasti terpisah
Yang tinggal hanya kenangan indah
Potretkan ia jauh di sudut hati
Bagaikan bingkisan sebuah memori
Agar saat rindu datang kembali , kau bisa menyapa diriku lagi










Saturday 7 February 2015

Usah Tanya

Usah tanya mana kekuatan
Bila lumpuh dimamah ujian
Tanyalah aku erti keberanian
Bila ku bangkit gagah sendirian

Usah tanya kenapa sendirian
Melawan dunia perlukan teman
Ajar sahaja aku erti perjuangan
Mengikat dunia hingga tertawan

Usah tanya mana timbul semangat
Bila senyumku terus terlihat
Selamilah jiwa yang kadang penat
Rungkaikan simpulan lihatlah dekat

Usah terus bertanya
Usah terus mengata
Fahami dengan bijaksana
Dekati dengan penuh mesra
Kerana kita punya cerita berbeza
Tak akan sama lihat dan rasa
Tak akan sama sakit dan suka
Tak akan sama sejarah dan rahsia

Kalau kau pilih untuk sakitkan jiwa
Usah tanya DOAKAN SAJA!




Aku Terima Nikahnya

Jarak bukan penghalang CINTA
Masa bukan ukuran lama
Bila ALLAH membuka rahsia
Dipertemukan dua insan sejiwa

Sekeping gambar membuka cerita
Di pinggir hati terdetik rasa
Bersua wajah di alam maya
Berteman sahabat pada langkah pertama

Saat salam pertama bermula
Saat langkah pertama kita berjumpa
Berdebar jiwa tatkala bersua
Ku intai dirimu dipinggir mata
Kau selindung sosokmu di belakang bonda

Hanya izin keluarga aku ingini
Agar hubungan tiada bertepi
Agar ujian dan cubaan dapat diatasi
Agar syukur terus ku panjat
Agar berkah kekal terikat

Saat lafaz sakinah di hujung bibir
Saat itu kau tidak terpinggir
Rupanya dirimu suri yang hadir
Menjadi peneman hingga ke akhir





Bila Merdeka

Bila Kau ucap kata Merdeka
Bila Kau lafaz kata bahagia
Bila tanah berdaulat ini terus dijaga
Engkaulah si bebas bernama manusia

Merdeka ini bukan di bibir

Hanya diseru saat OGOS hampir
Tapi terletaknya di hati si FAKIR
Sedar diri bila 'kebebasan' terukir

Ingatlah!

Merdeka ini bukan syaratnya bebas
Hidup sosial tanpa kenal batas
Bercakap bergurau hingga 'terlepas'
Hidup tanpa matlamat asalkan puas

Ingatlah jua!

Sumpah setia taatnya mereka
Bila merdeka dilaung bergema
Tanggal 31 OGOS tercatat kukuh
Mengharap anak-anak warisan tidak hidup angkuh!

Kitakah anak warisan itu?

Yang semakin sombong di Tanah Melayu

Atau


Kitakah anak warisan itu?

Yang bangga berdiri menabur ilmu
Yang tenang hidupnya tanpa seteru
Yang ikhlas berbakti di Tanah Merdeka
Mengangkat Malaysia di mata Dunia

Kerana di sini lahirnya kita

Di sini lahirnya sebuah cinta
Di sini juga kita sama merasa
Nikmat hidup diselimut awan bahagia
Beralaskan rumput dan bauan bunga
Berlengankan tanah yang sejahtera
Sambil ibu berdondang cerita

Bibirnya tidak pernah lekang

Minta dikenang jasa nenek moyang
Rela berkorban, membela dan berjuang
Agar Malaysia tidak lagi terbuang