Selamat datang ke blog PENSEL PATAH . Terima kasih kerana meluangkan masa anda di sini. Frasa dari hati hanya untuk anda yang mengerti. Selamat membaca. Semoga anda mendapat manfaat

Monday 14 July 2014

Nilai seorang GURU

Wajahmu lembut mengharap ilmu
Terkadang nakalmu membuatku buntu
Harus ku tegas seperti askar 'watan'?
atau perlu ku garang bak harimau di hutan?

Si kecilku...
Dulu pernah ku membenci 'title' GURU
Dan engkau ku buat seteru
Cita-citaku ingin mengajar si remaja
Yang ku fikir tak perlu mengeja

Si cilikku...
Melihatmu ku jadi keliru
Kau kawanku atau seteru
Kau terbitkan bosan atau rindu
Kau buahkan benci atau sayang di Qalbu

Dan baru ku ketemu
Kau sebahagian dari diari hidupku
Mejentik rindu tanpa jemu
Sikap dan wajah yang polos itu
Menyentuh senyap hati nan satu

Sejujurnya...
Aku bukan guru yang mengajar kau mengeja
Aku bukan guru yang mengenalkan alif hingga ya

Sebaliknya kaulah 'guruku'
Yang mengajar erti sabar selalu
Yang mendidikku ikhlas sebarkan ilmu
Yang membentuk hati kasih pada 'al-waladu'

Kau bisa membuat ku gembira
Bila ilmu ku ajar terus di jiwa
Tetapi sekalipun ku tak kecewa
Andai kau minta ku ulang semula

Sejujurnya...
Engkaulah yang ikhlas menyayangiku
Engkaulah jua yang tulus memuji lagakku
Engkau jua setia menghormati
Terkadang memerhati dan meminati
Menghulur salam minta disambut
Bagai idola diriku disebut

Nilai seorang guru
Kan ku kemas sikap dan tingkah
Biar diriku layak diikut langkah

Nilai seorang guru
Kan ku seru ajaran mahmudah
Kelak dewasamu tak ikut pepatah
'Sudah terhantuk baru terngadah'

Nilai seorang guru
Kan ku atur tutur kata
Seharusnya biasan nasihat semata
Menjadi azimat beroleh pahala
Pegangan hidupmu hingga dewasa



Saturday 12 July 2014

Maafkan kami

Maafkan kami
Di hujung sana kau berdarah
Di pinggir sana kau meriah
Kami di sini menanti lemah
Hanya saksikan yang tidak bersalah
Dipacu peluru sehingga rebah

Teriakan itu pasti kau dengar
Tangisan di wajah sudah tersebar
Hancurnya jasad jelas terpapar
Berpisahnya saudara tiada khabar

Lena si kecil di pangkuan ibu
Tidurnya panjang tak lagi berlagu
Senyum pejuang syahid dimiliki
Melihat bidadari menjemput kembali

Saudaraku...
Sakit lukamu bukan sebarangan
Bila tanahmu dibuat mainan
Bumi bertuah terus diselamatkan
Tiada gentar jengah di fikiran
Biar lebur kaki dan tangan
Menyerah kalah sudah kau enggan
Al-Aqsa perlu dipertahan

Kerana kau sedar...
Bahagia itu perlu pengorbanan
Syurga itu milik yang beriman

Maafkan kami Gaza
Kami gembira dengan dentuman mercun
Sedangkan kau derita saat bom yang 'terjun'

Maafkan kami Palestine
Kami berbuka dengan juadah yang enak
Kamu berharian tanpa juadah menyentuh tekak

Maafkan kami wahai saudara
Kami doakan perjuanganmu berjaya
Kerana kami saksi dirimu diseksa
Bermandi bom memercik luka
Bersahur di dunia, beriftar di syurga
Mewakili kami pertahan Aqsa tercinta

Sahabatku
Gaza dibedil, itu sentiasa
Bisa terpalit, itu biasa
Namun jangan biar diri berdosa
Tinggalkan saudara biar binasa

Buktikan sayang dengan perbuatan
Hulurkan bantuan dengan ubatan
Kirimkan belanja jangan kau 'segan'
Walau seringgit dikira amalan
Pahala berganda di sisi Tuhan

Di sini...
Kita jangan mengalah
Sedekah 'senjata' sebagai hadiah
Memohon doa menebus maruah
Kalahnya penjajah di bumi bertuah

Doa untukmu ~ Gaza

Dentuman bertalu di bumi Gaza
Membunuh jiwa yang tidak berdosa
Memaksa si muda terus bersedia
Dengan tangan tiada senjata

Saat bom dihantar dengan lagak
Inci kakimu tidak pernah berganjak
Kerana walau api itu marak
Tidak sama Syurga semerbak

Syahid kau buru
Doa kau tuju
Harapan buat saudaramu
Agar seluruh umat bersatu

Wahai Gaza...
Jangan kau marah lekanya kami
Kadang di sini doa terhenti
Urusan duniawi cepat mengaburi
Sedang di sana bedilan membanjiri

Wahai Palestine...
Sakit saat melihat kau diserang
Walau kami tidak mampu berjuang
Kami tidak akan diam
Doa kan lantun di dalam Qiam
Menemani parah lukamu sepanjang malam