Selamat datang ke blog PENSEL PATAH . Terima kasih kerana meluangkan masa anda di sini. Frasa dari hati hanya untuk anda yang mengerti. Selamat membaca. Semoga anda mendapat manfaat

Saturday 7 February 2015

Usah Tanya

Usah tanya mana kekuatan
Bila lumpuh dimamah ujian
Tanyalah aku erti keberanian
Bila ku bangkit gagah sendirian

Usah tanya kenapa sendirian
Melawan dunia perlukan teman
Ajar sahaja aku erti perjuangan
Mengikat dunia hingga tertawan

Usah tanya mana timbul semangat
Bila senyumku terus terlihat
Selamilah jiwa yang kadang penat
Rungkaikan simpulan lihatlah dekat

Usah terus bertanya
Usah terus mengata
Fahami dengan bijaksana
Dekati dengan penuh mesra
Kerana kita punya cerita berbeza
Tak akan sama lihat dan rasa
Tak akan sama sakit dan suka
Tak akan sama sejarah dan rahsia

Kalau kau pilih untuk sakitkan jiwa
Usah tanya DOAKAN SAJA!




Aku Terima Nikahnya

Jarak bukan penghalang CINTA
Masa bukan ukuran lama
Bila ALLAH membuka rahsia
Dipertemukan dua insan sejiwa

Sekeping gambar membuka cerita
Di pinggir hati terdetik rasa
Bersua wajah di alam maya
Berteman sahabat pada langkah pertama

Saat salam pertama bermula
Saat langkah pertama kita berjumpa
Berdebar jiwa tatkala bersua
Ku intai dirimu dipinggir mata
Kau selindung sosokmu di belakang bonda

Hanya izin keluarga aku ingini
Agar hubungan tiada bertepi
Agar ujian dan cubaan dapat diatasi
Agar syukur terus ku panjat
Agar berkah kekal terikat

Saat lafaz sakinah di hujung bibir
Saat itu kau tidak terpinggir
Rupanya dirimu suri yang hadir
Menjadi peneman hingga ke akhir





Bila Merdeka

Bila Kau ucap kata Merdeka
Bila Kau lafaz kata bahagia
Bila tanah berdaulat ini terus dijaga
Engkaulah si bebas bernama manusia

Merdeka ini bukan di bibir

Hanya diseru saat OGOS hampir
Tapi terletaknya di hati si FAKIR
Sedar diri bila 'kebebasan' terukir

Ingatlah!

Merdeka ini bukan syaratnya bebas
Hidup sosial tanpa kenal batas
Bercakap bergurau hingga 'terlepas'
Hidup tanpa matlamat asalkan puas

Ingatlah jua!

Sumpah setia taatnya mereka
Bila merdeka dilaung bergema
Tanggal 31 OGOS tercatat kukuh
Mengharap anak-anak warisan tidak hidup angkuh!

Kitakah anak warisan itu?

Yang semakin sombong di Tanah Melayu

Atau


Kitakah anak warisan itu?

Yang bangga berdiri menabur ilmu
Yang tenang hidupnya tanpa seteru
Yang ikhlas berbakti di Tanah Merdeka
Mengangkat Malaysia di mata Dunia

Kerana di sini lahirnya kita

Di sini lahirnya sebuah cinta
Di sini juga kita sama merasa
Nikmat hidup diselimut awan bahagia
Beralaskan rumput dan bauan bunga
Berlengankan tanah yang sejahtera
Sambil ibu berdondang cerita

Bibirnya tidak pernah lekang

Minta dikenang jasa nenek moyang
Rela berkorban, membela dan berjuang
Agar Malaysia tidak lagi terbuang